Sang suria begitu gigih menyinari di hari petang. Terasa kehangatan pantulan cahayanya. Aku telah tiba di destinasi perjanjian namun tidak kelihatan riak muka kekawan yang lain. Nampaknya terpaksalah aku menunggu mereka. Setelah mengirim beberapa ‘sms’ tetapi masih tiada sebarang jawapan, terus didial panggilan keluar kepada ‘bro’ seorang ini.
“Hello. Kat mana nie? I dah sampai”
“I kat dalam McD nie. Tengah makan. Lapar!”
“Ohh.. OK” Hati kecil berkata, “Dah sampai kenapa tidak bagitau”. Aku mengeluh.
Aku mengorak langkah masuk ke McD. Kelihatan hampir penuh tempat duduk dipenuhi. Dia mesti tengah khusyuk melayan makanannya. “Mana Si Botak nie…?! Ah! Dah jumpa”
“Dah makan ka?!
“Dah. You dah makan ka belum?”
“Belum lagi kot”
“Pergilah beli”
“OK”
Aku membeli set nugget 6 ketul kemudian menemani kawan aku seorang ini. Tidak terasa kelaparan namun kena mengisi perut bagi meneruskan perjalanan nanti. Kawan-kawan yang lain sudahpun tiba. Perjalanan ke destinasi “Bagan Lalang” bermula beberapa ketika kemudian.
Angin bayu memukul ke pantai. Pepohon hijau berayun bagaikan mengikuti ciptaan irama tersendiri. Setelah meneliti kawasan persekitaran, kedengaran enjin dua buah kenderaan dimatikan. Kawasan redup dicari. Selalunya ‘picnic’ kena dilantarkan tikar namun tiada seorang kawan aku yang membawanya. Walaupun ada sedikit kesukaran namun atas kebijaksanaan yang lain, terdampar satu papan meja terbiar menjadi pengganti tikar.
Setelah merehatkan badan seketika, kawan aku yang bergelar taukeh durian terus merasmikan 4 biji durian. Dalam keadaan yang panas terik kami masih mampu membuka selera dengan durian. Durian itu dibeli sewaktu di dalam perjalanan. Aku cuma mampu menatap beberapa ulas durian sahaja. Bukan kerana tidak menyukai durian cuma badan ini akan diundang deman atau sakit kerongkong jikalau berlebihan.

Cuaca sungguh terang dan kelihatan ‘baby crab’ berkeliaran ke sana sini. Angin laut begitu kuat memukul ke pantai. Kelihatan beberapa pengunjung tengah bermain laying-layang. Terasa ingin menyertai mereka tetapi segan.
Aku mula meninjau ke arah penjual laying-layang di simpang jalan. Kelihatan sungguh indah laying-layang dibelai angin kuat. Kawan aku mula mengajak pergi membeli dan bermain dengan yang lain.
Jauh di sudut hati ini terasa riang sekali bagaikan si kecil mendapat apa yang dihasratkan. Setelah membelinya, aku diarahkan menaikkan layang-layang tersebut. Terasa kaku sekali. Setelah mengikuti arahan yang diberi, kelihatan layang-layang 'Smile' menyentuh langit biru. Hati ini tetiba terasa begitu tenang dan bahagia sekali.

“Hheheh… OK ka I pegang tali macam nie?!”
“Ok lah… Eh! U nie tak pernah main laying-layang ka?!”
“Tak pernah!” *Terkelu lidah kawan aku apabila mendengar jawapan aku.
Sememangnya aku tidak pernah bermain laying-layang. Mungkin zaman kanak-kanak aku tidak seindah yang lain. Sejak kecil aku sudah dididik berdikari dan membantu mencari sumber rezeki. Jadi kenikmatan sebegini memang tidak dirasai.
Namun, aku tidak pernah mengeluh. Sekarang aku dapat merasai kebahagian seperti kanak-kanak yang lain. Cuma aku mampu merasainya di hari kemudian. :)

Langkah demi langkah tercatat di pasir lembut ini walaupun kesannya tidak berkekalan. Aku berjalan bertemankan kawan menikmati suasana persekitaran pantai itu.
Waktu hampir senja. Terasa sungguh kelaparan. Kami mula mengorak langkah menuju ke tempat makan yang berhampiran. Sampai di destinasi, terus dipesan makanan laut untuk semua. Bukan sekali pesanan tetapi DUA kali. Enak masakan lauk di sini.

Setelah beberapa jam menatap makanan, kami mula bergerak meninggalkan Bagan Lalang. Bulan purnama menjadi saksi pemergian kita. Kelihatan indah sinarnya menyinari malam.
Kebelakangan ini aku jarang mengukir sebarang senyuman tetapi bukan hari itu. Diri ini terasa tenang, riang dan terhibur dengan gelak-ketawa kekawan semua. Mereka menjadi penghibur yang setia mengubat sebarang kedukaan. Walaupun penat perjalanan pulang namun hati ini tetap riang. :)